“Dan diantara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia menciptakan dari diri kamu berpasang-pasangan supaya kamu merasa tenang bersamanya; dan Dia jadikan sesama kamu perasaan kasih sayang dan rahmat; sesungguhnya yang demikian itu menjadi tanda-tanda bagi orang yang berfikir” ( Ar-Ruum : 21 )

Wednesday, March 23, 2011

Pantang Larang Kucing

Kucing adalah haiwan yang paling digemari orang Melayu sebagai binatang peliharaan. Kucing dianggap dapat memberi banyak faedah kepada tuannya. Namun jika hendak memelihara kucing, orang Melayu mempunyai beberapa syarat dan petua yang boleh diikuti.

Carilah kucing yang warna bulunya putih semua dan panjang ekornya. Lebih baik sekiranya bulu kucing berwarna kelabu muda atau kelabu tua manakala matanya berwarna biru. Kata orang, memelihara kucing sedemikian boleh mendapat khasiat yang baik dan sentosa rumahtangganya.

Jika kucing jantan yang dipelihara berbelang tiga warna iaitu warna hitam, putih dan merah, alamat tuan rumah memperolehi rezeki yang baik. Petua orang tua, sekiranya mahu rezeki menjadi lebih baik, tanamlah kucing hitam mati tua di bawah pintu rumah.

Jauhkan kucing daripada bertengkar di dalam rumah kerana rumah tangga pasti akan berlaku pergeseran atau pergaduhan. Sekiranya kucing tetap bertengkar setiap hari di dalam rumah, alamat rumah itu panas dan sukar mendapat rezeki.

Dilarang memelihara kucing yang bulunya hitam semua kerana alamatnya tidak baik. Sekiranya tuan rumah mempunyai anak gadis, anak gadisnya sukar mendapat jodoh. Tuan rumah akan sering terkena sengsara dan berlakunya pertumpahan darah di dalam rumah. Namun sekiranya minat memelihara kucing hitam, carilah yang bulu keempat-empat kakinya putih. Lebih baik sekiranya ekornya bersimpul kerana itu petandanya kekayaan.

Jangan pelihara kucing yang berwarna lemak ketam dan panjang ekornya kerana alamatnya, berlaku kehilangan harta benda di dalam rumah serta sering boros rezeki simpanannya. Namun sekiranya ekor kucing itu bersimpul, masih ada baiknya kerana simpulan itu membawa budi selamat.

Jikalau kucing yang dipelihara berekor barik-barik (berbatik) panjang, firasatnya buruk, menyebabkan pertengkaran, susah hati, sering berdukacita dan jauh daripada kebahagiaan. Namun kalau ekornya bersimpul, alamatnya tidak berapa buruk.

Jikalau kucing belang hitam pada warna bulunya yang putih, baik sekali dipelihara kerana tabiatnya tulus dan kaya, murah rezeki. Apatah lagi sekiranya ekornya bersimpul, makin banyak manfaat kepada tuan rumah.

Diingatkan, janganlah memelihara kucing hitam yang kepalanya putih sehingga ke mulut kerana firasatnya kejahatan dan celaka selamanya.

Gelaran ‘kucing leher’ diberikan kepada kucing yang bulunya putih, kepalanya hitam mengalur sampai ke dada. Kucing sebegini baik dipelihara kerana membawa kebahagiaan kepada seisi rumah.

Kucing yang ekornya berwarna putih panjang walaupun sembarang warna badannya, tidak elok dipelihara kerana kulitnya mudah mati atau berkurap. Kucing sebegini disebut ‘bisa’.

Baik juga dipelihara kucing yang telapak kakinya putih hingga ke kepala kerana tuannya bakal kaya dengan rezeki. Kucing sebegini disebut ‘bunga mulia’.

Kucing berwarna merah dengan ekornya mengalur hitam dari punggung, digelar ‘kala-ngumbara’. Tidak baik memelihara kucing sebegini kerana sering akan terjadi sangkak atau gendala dalam perjalanan tuannya. Namun kalau ekornya bersimpul, kucing itu boleh dipelihara tetapi tiada firasat baik atau buruk kerana firasat buruk kucing itu telah tersimpul pada ekornya.

Baik dipelihara kucing putih warna bulunya tetapi hitam dadanya sampai belang pada punggungnya. Kucing sebegini digelar ‘Sangga Buwana’. Firasatnya, kucing ini membawa ‘selamat’ pada seisi penghuni rumah juga harta bendanya. Jika ekornya tersimpul, akan bertambah luhur dan damai tuannya.

Janganlah memelihara kucing yang dadanya hitam mengalur putih hingga ke hujung dada. Kucing sebegini dinamakan ‘Baja Ngangsar’ kerana memberi bahaya kepada tuannya, lebih-lebih lagi bahaya ketika berada di air.

Janganlah memelihara kucing dandi (berbelang kecil) merata seluruh tubuhnya melainkan buntutnya putih kerana tuannya akan sering ditimpa kesusahan, kurus kering, kehilangan harta benda dunia dan susah mendapat anak. Kucing sebegini digelar ‘Bintang-berekor’.

Orang tua-tua juga berpesan, peliharalah kucing bisu yang tidak mengeluarkan sebarang bunyi, biar apa warnanya sekalipun. Kucing sebegini digelar ‘Wisnu-bertapa’ dan dianggap memberi tuah kepada tuannya.

Lebih baik lagi, peliharalah kucing yang mempunyai pusar bulu di tiga tempat iaitu kepala, dada dan punggung. Kucing sebegini digelar ‘ketam-berani’ dan dianggap raja segala kucing. Kucing ini dapat menguasai semua kucing yang ada dan dapat memberi kemakmuran serta kedamaian pada tuannya.


Demikianlah pantang larang kucing, sekadar petua orang Melayu dulu. Namun kucing juga makhluk bernyawa dan perlukan kasih sayang. Janganlah terus membuang kucing anda sekiranya kucing peliharaan anda kini, dalam kategori kucing yang tidak elok dipelihara.

No comments:

Post a Comment