“Dan diantara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia menciptakan dari diri kamu berpasang-pasangan supaya kamu merasa tenang bersamanya; dan Dia jadikan sesama kamu perasaan kasih sayang dan rahmat; sesungguhnya yang demikian itu menjadi tanda-tanda bagi orang yang berfikir” ( Ar-Ruum : 21 )

Wednesday, March 23, 2011

Ibu Bermulut Masin

Kita sering diajar untuk menuruti nasihat orang tua dan pantang menderhaka. Hati ibu atau bapa yang terluka akan mengakibatkan mereka terujarkan kata-kata yang tidak baik. Kata-kata ibu sering dianggap satu doa kepada anak-anak kerana mulut ibu dianggap lebih masin daripada bapa. Dalam cerita rakyat Si Tanggang, anak yang derhaka telah disumpah menjadi batu. Doa ibu termakbul dengan mudah kerana ibu yang lebih ‘dekat’ dengan si anak. Ibulah yang mengandungkan anaknya. Rasa serta perasaan antara anak dan ibu itu telah lama bersatu. Namun sebagai ibu bapa, seharusnya seringlah menggunakan kata-kata yang baik. Usahlah menganggap sumpah seranah ke atas anak itu perkara yang remeh kerana setiap kata itu suatu doa.

Pancaindera Ke 6
Manusia dicipta dengan tujuh liang di kepala iaitu dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung dan satu liang mulut. Di bahagian bawah tubuh pula terdapat dua liang iaitu satu liang kemaluan dan satu liang dubur. Melalui liang-liang itu juga terjadinya lima buah pancaindera iaitu deria penglihatan, ciuman, pendengaran, deria rasa melalui mulut dan deria rasa melalui anggota tubuh lain seperti kulit dan telapak tangan.

Dalam kosmologi Melayu, orang yang mempunyai ‘mulut masin’ dianggap mulia. Orang itu dianggap berilmu tinggi kerana boleh mengesan rahsia-rahsia alam dan manusia melalui pancaindera keenam. Orang ini dianggap berupaya menerima khabar melalui telinga dan mata batin yakni berupaya ‘melihat’ sejarah silam seseorang atau ‘melihat’ sesuatu yang akan berlaku di masa akan datang. Lidah mereka disifatkan ‘lidah masin’ kerana apa yang keluar dari mulutnya bukan sembarangan. Kebolehan ini merupakan anugerah daripada Tuhan kerana ketaatannya sebagai hamba. Justeru itulah, orang sebegini dianggap masin mulutnya dan perlu dituruti nasihatnya.

No comments:

Post a Comment