“Dan diantara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia menciptakan dari diri kamu berpasang-pasangan supaya kamu merasa tenang bersamanya; dan Dia jadikan sesama kamu perasaan kasih sayang dan rahmat; sesungguhnya yang demikian itu menjadi tanda-tanda bagi orang yang berfikir” ( Ar-Ruum : 21 )

Friday, March 18, 2011

Kugiran SMART

Kugiran SMART (Bab 1)

BILIK studio itu sunyi sepi. Tiada suatu bunyi pun yang kedengaran selain bunyi alat pendingin hawa. Nama sahaja bilik studio muzik, tetapi suasananya pada ketika itu mengalahkan suasana di perpustakaan.

Azrizal, Shafik dan Iqbal saling berbalas pandangan sambil menggunakan bahasa isyarat yang hanya difahami oleh mereka bertiga sebelum pandangan masing-masing jatuh pada pemuda yang duduk berteleku di hadapan mereka. Semenjak mereka tiba di situ hampir 30 minit yang lalu, pemuda itu masih belum bersuara ataupun beraksi. Dari tadi pemuda itu asyik terkumat-kamit sendiri sambil matanya dipejamkan.

Azrizal yang berada di sebelah kanan pemuda itu bersama gitarnya menjuihkan bibir kepada Shafik yang berada di sebelah kiri pemuda itu bersama bassnya. Dia membuat isyarat supaya Shafik melakukan sesuatu.

Shafik menjongketkan bahu. Kemudian, serentak mereka berdua memandang Iqbal yang berada di posisi drammer di belakang.

Seperti Shafik, Iqbal juga hanya menjongket bahu. Kemudian, spontan dia mengetuk ride cymbal dram itu, sekali gus mengejutkan pemuda itu.

“Ha, dah boleh mula ke?” Pemuda itu terpinga-pinga.

“Kita orang tunggu kau saja ni. Kau nak nyanyi ke tak ni?” tanya Azrizal acuh tidak acuh. Dia sudah mula hilang sabar. Dari tadi mereka menunggu, boleh pula pemuda itu bertanya begitu. Membuang masa mereka sahaja.

“Ya, aku nak nyanyilah ni,” balas pemuda itu sambil menarik nafas sebelum menghembusnya. Perbuatan itu diulangi beberapa kali. Setelah berpuas hati, dia mencapai mikrofon yang sudah tersedia di hadapannya. Namun, kali ini dia berdehem pula beberapa kali untuk menguji suaranya.

“Nak buat persediaan pun sampai berjam-jam,” rungut Azrizal. Ketika kali pertama dia melihat pemuda itu tadi pun, dia memang sudah tidak berkenan. Sudahlah rambutnya panjang dan kerinting, seluarnya pula koyak di lutut. Bukankah sudah ada lampu kalimantang yang terang-benderang, jadi buat apa hendak susah-susah menggunakan cahaya pelita pula? Pastinya pemuda itu peminat genre rock sedangkan konsep muzik kumpulan mereka ialah pop alternatif.

Namun, Shafik menyarankan agar mereka memberi pemuda itu peluang untuk menunjukkan bakat. “Don’t judge a book by its cover.” Itu kata Shafik.

Tetapi masalahnya, pemuda di hadapan mereka itu bukannya buku. Jika buku, bolehlah perumpamaan itu digunakan kerana kebiasaannya pembuat kulit buku bukan orang yang sama dengan orang yang menulis buku. Jadi, tidak mustahillah jika isi dalaman dan ilustrasi luarnya berbeza ‘jiwa’. Sebaliknya, pemuda itu seorang manusia dan sudah pastilah penampilannya mencerminkan personalitinya.

“Percubaan, percubaan.” Selepas menguji suaranya, pemuda itu menguji mikrofon pula, kemudian tiba-tiba sahaja dia menyanyikan lagu ‘Khayalan’ dendangan Ruffedge dan VE. Siap dengan gaya rapnya sekali. “Percubaan mic, satu, dua, tiga dan empat... Tiada apa kudapat bersamamu hanya penat... Mereka bisa berkata apa kerana tidak merasa...” Namun tiba-tiba pemuda itu terdiam apabila menyedari dirinya diperhati oleh Azrizal, Shafik dan Iqbal. Dia berdehem sekali dan cuba berlagak selamba.

“Kau nak nyanyi lagu apa ni?” tanya Azrizal sambil menyelaraskan tuning pegs gitarnya.

“Kasihnya Jinbara daripada Laila.”

Azrizal, Shafik dan Iqbal tercengang seketika.

“Eh, silap. Kasihnya Laila daripada Jinbara,” pemuda itu membetulkan apabila menyedari kesilapannya.

Azrizal, Shafik dan Iqbal terus memainkan muzik sambil terangguk-angguk menghayati muzik. Namun baru beberapa patah perkataan pemuda itu menyanyi, Azrizal, Shafik dan Iqbal terhenti bermain muzik. Mereka tercengang mendengar lagu yang dinyanyikannya.

“La, kenapa kau orang berhenti?” Pemuda itu turut berhenti menyanyi apabila menyedari hanya suaranya yang kedengaran tanpa diiringi oleh bunyi alat muzik mereka bertiga.

“Bukan ke tadi kau suruh kita orang main lagu Jinbara. Tapi, kenapa kau nyanyi lagu Mas Idayu pula ni?” soal Shafik.

“Kau orang ni ketinggalan betullah. Kau orang tak pernah dengar rock dangdut ke?” soal pemuda itu kembali.

“Rock dangdut?!” Mereka bertiga terasa mahu pengsan di situ.


* * *


“TERUK betullah orang tu tadi. Tak sesuai betul,” keluh Azrizal sebaik-baik pemuda tadi berlalu dari situ.

“Memang tak sesuai,” sahut Shafik.

“Betul ke ada rock campur dangdut? Macam menarik saja, bukan? Mari kita cuba, nak?” cadang Iqbal penuh teruja.

“Jangan nak berguraulah, Ball!” bangkang Shafik.

“Tolonglah!” Azrizal mengajuk trademark Cikgu Jaafar dalam drama sitcom Cili Padi. Kemudian, pandangannya beralih kepada Shafik. “Chap, ada lagi tak orang yang nak uji bakat?”

“Tak ada,” jawab Shafik pendek.

Mendengarkan itu, Azrizal mengeluh hampa. Ekoran sukar mendapat vokalis di kalangan teman mereka sendiri, mereka mengambil keputusan untuk mengiklankannya dalam laman sosial My Space bagi mengisi posisi itu. Namun, responsnya sangatlah lembap sampaikan Shafik pun terlupa yang dia pernah mengiklankan ‘kekosongan’ itu di My Space beberapa bulan yang lalu yakni sebelum mereka menduduki peperiksaan SPM lagi.

Mungkin kerana nama kumpulan muzik mereka masih belum dikenali. Justeru, tidak ada sesiapa pun yang berminat untuk menjadi vokalis mereka. Adat dunia. Apabila kita bukan siapa-siapa, tidak ada sesiapa pun yang hendak pandang tetapi apabila kita sudah ada nama, pasti semua mengaku kawan.

Meskipun begitu, mereka juga tidak mahu terlalu terburu-buru dalam memilih calon yang sesuai. Hendak menubuhkan kumpulan memang senang tetapi hendak mengekalkannya dengan anggota asal memang sukar. Kebanyakan kumpulan muzik yang ada di Malaysia ini pun sudah banyak yang bertukar ahli walaupun nama kumpulan mereka tetap utuh di persada.

“Kalau tak ada, kita balik sajalah.” Azrizal bingkas bangkit. Hatinya dirundum kecewa. Namun, dia tetap percaya dan yakin pasti ada seseorang yang ditakdirkan untuk menyertai kugiran mereka. Dia tidak peduli siapa pun orang itu asalkan orang itu memenuhi kriteria-kriteria yang mereka mahu. Yang menjadi persoalannya, bilakah mereka akan berjumpa dengan orang itu?


Kugiran SMART (Bab 2)

SEPERTI biasa, rumah itu sunyi tanpa penghuni ketika dia pulang. Dia juga sudah tidak peduli dengan situasi itu, malah dia sendiri sudah malas hendak mengambil tahu perihal setiap penghuni rumah itu. Masing-masing dengan hal masing-masing. Sudahlah jarang-jarang berjumpa, berhubung apatah lagi.

Azrizal menonong ke biliknya yang terletak di belakang rumah namun sempat ditahan oleh bapanya.

“Riz, duduk sini sekejap. Ayah nak cakap sikit.”

Azrizal tidak jadi hendak melangkah ke biliknya. Memang dia perasan akan keberadaan bapanya yang sedang asyik membaca surat khabar di ruang tamu ketika dia membuka pintu tadi, namun dia tidak tahu sama ada hendak menyapa ataupun berpura-pura tidak nampak.

Hubungannya dengan bapanya tidak rapat. Seingat Azrizal, mereka tidak pernah langsung duduk berbual-bual bersama. Bercakap hanya apabila perlu. Namun begitu, bapanya tidak pernah ada apabila dia perlukan. Justeru, dia lebih banyak menghabiskan masanya di luar bersama Shafik dan Iqbal. Dia juga hampir terlupa yang dia masih mempunyai ibu dan bapa lantaran kedua-duanya terlalu sibuk dengan urusan kerja masing-masing sehingga tidak sempat hendak mengambil tahu tentang dirinya. Patutlah adiknya mahu menghabiskan cuti sekolah di rumah kakaknya di Kota Bharu, Kelantan.

Hampir sahaja wajah kedua-duanya luput daripada ingatannya. Mana tidaknya, kadang-kadang dia tidak nampak langsung kelibat mereka di rumah. Awal-awal pagi sudah ke pejabat. Lewat tengah malam nanti barulah mereka pulang. Entah apa yang mereka kejarkannya pun dia tidak tahu.

Tiba-tiba sahaja malam ini keajaiban berlaku. Bapanya menunggunya di ruang tamu semata-mata hendak menemuinya?

Encik Ariffin masih menantikan Azrizal duduk di sofa. Surat khabar di tangannya tadi sudah diletakkan di atas meja. Melihatkan itu, lambat-lambat Azrizal menghampiri bapanya.

“Riz pergi mana tadi?” tanya Encik Ariffin sejurus Azrizal melabuhkan punggung di atas sofa.

“Jumpa kawan,” balas Azrizal, acuh tidak acuh. Dia semakin hairan dengan sikap bapanya itu. Sejak bila pula bapanya mengambil berat tentang apa yang dilakukannya? Makan dan minumnya pun bapanya tidak pernah bertanya. Mesti ada apa-apa. Azrizal menebak.

“Riz dah habis sekolah, bukan?”

Azrizal diam sambil menantikan kata-kata seterusnya daripada bapanya. Pasti ada perkara penting yang hendak dicakapkan oleh bapanya. Jika tidak, bapanya tidak akan sanggup menunggunya pulang.

“Ayah rasa eloklah Riz cari kerja sambilan daripada Riz melepak tak tentu hala di luar sana tu sementara tunggu keputusan SPM ni. Lepas tu, bolehlah sambung belajar di kolej,” Encik Ariffin terus menyatakan pendapatnya. Dia tidak suka bercakap berkias atau berbunga-bunga. Membuang masa.

“Alah, yah. Riz bukannya buat benda tak elok pun. Riz cuma jamming dengan kawan-kawan,” ujar Azrizal membela diri. Dia sudah menduga yang bapanya akan menghalang minatnya nan satu itu.

“Tapi benda tu tetap tak berfaedah. Kalau Riz kerja, adalah juga duitnya. Ini setakat buang masa tapi habuk pun tak ada, nak buat apa?” Encik Ariffin mula bersuara tegas. Dia tidak mahu Azrizal mencemarkan nama baik keluarganya. Ini pun nasib baik ada yang memberitahunya. Jika tidak, pasti dia tidak tahu apa aktiviti Azrizal di luar.

“Riz bukan buang masa, yah. Riz ada matlamat hidup Riz sendiri,” tegas Azrizal pula. Sungguh dia tidak pernah terfikir langsung tentang kemasukan ke universiti ataupun kolej. Dia sudah tidak berminat hendak belajar. Cukuplah 11 tahun di alam persekolahan. Dia sudah jemu mengadap buku. Tambahan pula, dia sendiri tidak yakin yang keputusan peperiksaannya sebegitu bagus bagi melayakkannya meneruskan pengajian di universiti ataupun kolej. Setakat lulus sahaja pun sudah memadai baginya.

“Habis, main muzik tu bukan membuang masa?” tingkah ayahnya.

“Yah, ni minat Riz,” balas Azrizal. Dia sendiri tidak sedar sejak bila dia begitu berminat dengan muzik. Hidupnya sudah sebati dengan muzik. Muzik itu ibarat terapi bagi dirinya. Apabila sedih, dia dengar muzik. Apabila sunyi, dia dengar muzik. Apabila memberontak, dia dengar muzik. Malah dia juga sedang berjinak-jinak menggubah lagu bagi meluahkan isi hatinya.

“Riz, sekali-sekala kita kena ketepikan minat kita untuk teruskan hidup. Kita bukan orang senang. Minat saja tak dapat menjamin apa-apa. Tengok ayah su Riz tu. Mula-mula memanglah syok. Ada nama, ada duit. Tapi bila dah tak laku, ke mana dia? Balik kampung juga akhirnya!”

“Sekurang-kurangnya dia berpeluang mendapat apa yang dia nak.” Laju sahaja mulutnya mencantas kata-kata ayahnya. Entah dari mana dia beroleh kekuatan itu.

“Menjawab, ya? Sebab itulah ayah tak suka Riz rapat sangat dengan ayah su Riz tu. Kan dah berjangkit dengan dia!” bentak Encik Ariffin. Memang dari dahulu dia tidak pernah menyukai adik iparnya itu. Baginya, adik iparnya itu hanya membawa pengaruh buruk kepada anaknya.

“Ayah, hal ni tak ada kena-mengena dengan ayah su. Riz sendiri yang pilih jalan ni,” Azrizal cuba berlembut dengan ayahnya. Mudah-mudahannya ayahnya lembut hati.

Azrizal memang rapat dengan bapa saudaranya yang dipanggil ayah su itu, malah lebih rapat daripada bapa dan ibunya. Bapa saudaranya itulah yang paling banyak menyokong dan mendorong minatnya. Tambahan pula, bapa saudaranya itu berpengalaman dalam bidang muzik.

“Walau apa pun, ayah tetap tak izinkan Riz jadi pemuzik yang tak ada masa depan tu!”

“Tapi, yah...”

“Keputusan ayah muktamad! Lepas keputusan SPM keluar, ayah akan hantar Riz masuk kolej!”

“Yah, Riz dah besar. Riz ada hak untuk pilih jalan hidup Riz sendiri,” Azrizal membangkang kata-kata ayahnya. Sampai bila bapanya hendak mengatur hidupnya? Adakah bapanya pernah memikirkan perasaannya? Impian dan cita-citanya?

“Itu tak bermakna Riz boleh buat keputusan sendiri! Selagi mak dan ayah masih hidup, Riz tetap kena ikut cakap kami!”

Azrizal segera berlalu ke biliknya tanpa menunggu lama. Rasa hormat kepada ayahnya sudah tidak dihiraukannya. Dia duduk di birai katil. Seperti orang tidak betul, dia meracau-racau sendiri. Berang sungguh dia dengan sikap diktator bapanya itu. Dia perlu melepaskan kemarahannya.

Tiba-tiba matanya terpana pada meja tulisnya. Pantas dia mencapai pen dan kertas yang ada di atas meja itu. Tangannya ligat mencoretkan sesuatu pada kertas itu.


* * *


“Ma, Tya ingat Tya nak cari kerjalah sementara tunggu keputusan SPM. Boleh tak, ma?” Athira menyuarakan hasrat hatinya ketika dia dan ibunya sedang menonton siaran berita di televisyen. Bapanya pulang masih belum pulang dari surau.

“Tak payahlah, Tya. Tya tolong mama di rumah ni saja. Banyak lagi kerja di rumah ni,” ujar Puan Hanisah sambil tangannya lincah melipat kain baju yang dilonggok di atas sofa. Sesekali matanya memandang ke arah televisyen. Sememangnya dia lebih suka melakukan sendiri kerja-kerja rumah daripada menggaji pembantu rumah. Sekurang-kurangnya kewangan keluarga mereka dapat dijimatkan.

“Alah, ma, bolehlah,” rengek Athira persis anak kecil apabila keinginannya untuk bekerja dibantah. “Semua kawan Tya bekerja sementara tunggu keputusan SPM. Tya saja yang tak buat apa-apa.”

“Habis tu, kalau semua kawan Tya buat kerja tak tentu hala pun Tya nak ikut mereka?”
Athira diam. Reaksi ibunya itu sudah dapat diduga tetapi dia tetap mahu cuba memujuk.

“Bukan mama tak nak bagi Tya kerja tapi bukan sekarang,” sambung Puan Hanisah apabila melihat muka muram anak tunggalnya itu.

“Kenapa?”

“Mama tak nak bila Tya dah merasa pegang duit sendiri, Tya dah mula hilang minat nak belajar,” terang Puan Hanisah. Tambahan pula, suaminya masih mampu menampung keperluan mereka sekeluarga. Buat masa sekarang, dia tidak mahu Athira melakukan apa-apa pekerjaan selain belajar bersungguh-sungguh dan mendapat pekerjaan yang baik pada suatu hari nanti.

“Alah, takkannya. Tya janji Tya akan sambung belajar tapi sementara tu, mama benarkanlah Tya kerja ya, ma? Tya pun nak merasa cari duit sendiri,” Athira berusaha memujuk ibunya. Sungguh dia teruja apabila mendengar cerita kawan-kawannya yang bekerja. Ada yang bekerja di kedai buku, ada yang bekerja di kedai makan dan ada juga yang bekerja sebagai kerani. Walaupun gaji yang diterima tidak sebanyak mana, namun itu semua tidak penting. Apa yang penting, mereka dapat menimba pengalaman di samping memanfaatkan masa yang terluang.

“Tya, Tya faham tak apa mama cakap? Masa Tya akan tiba juga nanti,” suara Puan Hanisah sudah mula meninggi. Selama ini, Athira tidak pernah membantah kata-katanya.

“Habis tu, Tya nak buat apa di rumah ni? Bosanlah,” rungut Athira lantas bingkas bangkit ke bilik tidurnya. Tanda protes.
Puan Hanisah cuma menggeleng melihat sikap Athira. Mungkin Athira berasa terkongkong tetapi dia mempunyai alasan tersendiri untuk mengawal hidup Athira.


* * *


“Habis tu, Tya tak jadilah nak cari kerja ni?” soal Azrizal sejurus Athira mengadu perihal ibunya yang tidak membenarkannya bekerja sementara menunggu keputusan SPM.

“Macam tulah nampak gayanya,” ujar Athira kecewa sambil memintal-mintal wayar telefon. “Riz pula macam mana?”

“Kalau mak Tya tak bagi Tya kerja, ayah Riz pula sebaliknya. Dia suruh Riz kerja sementara tunggu keputusan SPM. Lepas keputusan keluar nanti, dia nak hantar Riz sambung belajar di kolej,” cerita Azrizal. Kata-kata ayahnya tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Sakit betul hatinya apabila mengenangkan perkara itu.

“Baguslah tu. Kita masuk kolej yang sama, ya? Nanti bolehlah kita belajar sama-sama lagi. Riz nak ambil jurusan apa? Tya nak ambil pengajian undang-undang,” balas Athira tanpa mengetahui apa yang terbuku di hati Azrizal.

“Tya, belajar di sekolah pun Riz dah malas, apatah lagi nak sambung belajar di kolej. Zaman sekarang, orang yang tak masuk kolej pun boleh berjaya tau. Orang yang ada ijazah pun susah nak dapat kerja. Daripada buang duit belajar, baik cari duit,” luah Azrizal.

Athira tersentak. “Maksud Riz, Riz tak nak sambung belajar?”

“Tak kut,” aku Azrizal, jujur.

“Habis tu, kalau Riz tak nak sambung belajar, macam mana dengan Tya nanti?” Suara manja Athira tadi sudah mula berubah keras.

“Maksud Tya?” Azrizal tidak mengerti.

“Takkan Tya nak sambung belajar sorang-sorang saja? Riz tak nak temankan Tya ke?” Athira berasa kecewa dengan jawapan Azrizal.

“Tya, Riz pun ada cita-cita.”

“Cita-cita apa?”

“Riz nak main muzik.”

“Main muzik? Tu bukan cita-cita tapi hobi!”

“Hobi? Tya, Riz main muzik bukan sekadar hobi. Riz nak hidup dengan muzik,” terang Azrizal.

Namun Athira tetap tidak bersetuju dengan Azrizal. “Riz, main muzik takkan dapat menjamin masa depan.”

“Mana Tya tahu? Dia pernah cuba?”

Athira mengetap bibir menahan geram. “Ee, malaslah Tya nak cakap dengan Riz!” Athira segera mematikan talian.

Azrizal melepaskan keluhan. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang. Seseorang yang telah banyak mendorong dan menyokong impiannya nan satu itu. Seseorang yang tidak pernah jemu memberikan kata-kata perangsang kepadanya. Tanpa sedar, tangannya pantas membuka laman sosial My Space. Nama pengguna dan kata laluan dimasukkan.

Beberapa minit kemudian, laman sosial yang berlatar belakangkan warna hitam menghiasi pandangan matanya. Dia melihat nama pertama di top friend profilnya. Tiada perkataan online di bawahnya. Dia mengeluh hampa. Lantaran itu, hatinya terdetik untuk meninggalkan pesanan kepada pemilik tempat pertama di top friendnya itu.

Sebaik-baik menaip beberapa patah perkataan, dia menekan tetikus pada perkataan ‘hantar’. Mudah-mudahan sahabatnya itu membaca pesanannya dan segera menghubunginya.


Kugiran SMART (Bab 3)

TANPA diduga, semakin ramai yang memberi respons di My Space mereka bagi mencuba nasib sebagai vokalis kumpulan mereka walaupun kumpulan mereka masih belum dikenali. Terkejut betul mereka dibuatnya. Agaknya orang Malaysia memang suka menyanyi. Lihat sahaja rancangan realiti TV yang berkonsepkan nyanyian. Setiap kali ada uji bakat, sambutannya pasti hebat. Jualan murah pun kalah!

Namun memandangkan mereka bertiga bukan dalam rancangan realiti TV, memadailah sekiranya uji bakat itu dibuat secara kecil-kecilan dan tertutup. Sebuah studio latihan muzik telah dipilih bagi menjalankan sesi uji bakat itu. Azrizal, Shafik dan Iqbal terpaksa membuat saringan terlebih dahulu bagi memilih vokalis yang betul-betul bertepatan dengan identiti dan konsep kumpulan mereka.

Mereka tidak mahu orang yang cuma hangat-hangat tahi ayam ataupun hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Bukan sekadar mahu popular ataupun mencipta nama. Yang hanya tahu buka mulut dan menyanyi. Itu semua orang pun tahu. Mereka mahukan seseorang yang memahami apa itu muzik dan tahu apa yang ingin dicapainya dalam muzik serta tahu berinteraksi sesama ahli kumpulan ketika beraksi di atas pentas.

“Terima kasih. Apa-apa nanti kita orang beritahu ya,” ujar Shafik kepada seorang calon yang menghadiri sesi uji bakat itu. Dia memandang ke arah Azrizal dan Iqbal. Serentak mereka menggeleng.

“Dia lupa ke kita yang di belakang ni?” Iqbal meluahkan ketidakpuasan hatinya.

“Entahnya. Main syok sendiri saja. Baik dia nyanyi solo, tak payah ada kumpulan muzik,” komen Azrizal pula.

“Jadi, nak teruskan ke tak ni?” tanya Shafik apabila melihat wajah kedua-dua sahabatnya itu sudah kelihatan sungul.

“Teruskanlah,” balas Azrizal. Dia tidak mahu bertangguh lagi. Lagi cepat habis, lagi bagus. Jadi, tidak perlu lagi dia mengadap kerenah dan gelagat orang yang datang uji bakat ini.

“Seterusnya!” Shafik memanggil seorang lagi calon yang menunggu di luar.

Seorang remaja lelaki yang berpakaian ala-ala hip hop melangkah ke dalam. Daripada gayanya, mereka dapat menganggap yang remaja lelaki itu meminati genre hip hop. Pandangan mata remaja lelaki itu melilau memerhatikan keadaan di dalam studio latihan muzik itu. Dan kemudian, pandangannya jatuh pada wajah Azrizal, Shafik dan Iqbal.

“Mana jurinya?” soal remaja lelaki itu, sedikit terkejut apabila melihat gaya mereka bertiga tidak seperti yang dibayangkan.

“Kita oranglah,” jawab Shafik mewakili teman-temannya.

“Tapi awak bertiga nampak muda,” ujar remaja lelaki itu waswas. Usia mereka bertiga kelihatan tidak jauh berbeza dengan usianya. Tidak mungkin mereka bertiga jurinya.

“Ada masalah ke?”

“Err... tak.” Lambat-lambat remaja lelaki itu menjawab. Namun, wajahnya masih kelihatan ragu-ragu.

“Okey, kalau macam tu, awak boleh mula menyanyi sekarang,” arah Shafik.

“Maaf, apa dia? Menyanyi?” Bulat mata remaja lelaki itu.

“Yalah. Awak datang untuk uji bakat sebagai vokalis, bukan?” Shafik, Azrizal dan Iqbal berbalas pandangan. Pelik betul mereka dengan sikap remaja lelaki itu. Takkanlah dia tidak tahu dia datang ke situ untuk apa?

“Eh, tak! Sebenarnya saya datang untuk uji bakat pertandingan Mari Menari Denganku,” terang remaja lelaki itu.

“Oh, nampaknya awak dah salah tempat. Kita orang cari vokalis, bukan penari,” kata Shafik lagi. Mujur dia masih dapat bersabar. Jika tidak, sudah lama remaja lelaki itu dimakinya.

“Oh, kalau macam tu, di mana tempat uji bakat pertandingan tu?”

“Daa... manalah kami tahu. Maaf, kalau tak ada apa-apa, sila keluar ya. Ramai lagi orang yang sedang menunggu giliran di luar tu. Seterusnya!” Tanpa menunggu remaja lelaki itu beredar, Shafik terus memanggil calon yang seterusnya.


* * *


Seorang remaja perempuan pula masuk ke situ. Rambutnya yang panjang dan wajahnya yang comel serta gayanya yang ayu itu membuatkan Azrizal, Shafik dan Iqbal terpegun seketika. Tiba-tiba keadaan menjadi sunyi sepi.

“Helo!” sergahan gadis itu mematikan lamunan mereka bertiga lantas mereka bertiga membetulkan posisi masing-masing dan cuba berlagak selamba bagi menutup malu.

“Maaf, siapa nama awak?” tanya Azrizal.

“Sarah.”

“Ada nombor telefon?”

“Ehem!” Soalan Azrizal itu dipatahkan oleh Shafik. “Begini ya, Sarah. Sebelum awak bazirkan masa kita orang dan juga masa awak, biar kita orang cakap terus terang. Kita orang cari vokalis lelaki. Jadi...” Shafik menunjuk ke arah pintu keluar dengan harapan gadis itu faham akan maksudnya.

Bibir gadis itu bergerak-gerak seperti ingin mengatakan sesuatu. Namun, tidak lama kemudian, tiba-tiba sahaja dia menangis. Semakin lama, semakin kuat.

Azrizal, Shafik dan Iqbal kaget. Tidak disangka sebegitu sekali reaksi gadis yang kelihatan sempurna di mata mereka itu.

“Eh, kenapa awak menangis ni?” Shafik mula cemas. Adakah dia tersilap cakap?

“Kau garang sangat kut,” ujar Azrizal.

“Mana ada. Aku cuma cakap terus terang saja,” Shafik membela diri. “Apa kita nak buat ni?”

“Entah, aku tak reti pujuk perempuan,” celah Iqbal.

“Begini sajalah, kita bagi dia peluang untuk menyanyi satu lagu,” cadang Azrizal. Kasihan pula dia melihat gadis itu. Yalah, sudah lama menunggu giliran tetapi apabila gilirannya tiba, penyertaannya dibatalkan hanya kerana dia seorang perempuan.

“Okeylah, kita orang beri awak peluang untuk tunjukkan bakat awak,” Shafik menurut cadangan Azrizal.

Serentak dengan itu, tangisan gadis itu terhenti serta-merta. Dia mengukir senyuman manis. Mungkin gembira kerana taktiknya berjaya. Azrizal, Shafik dan Iqbal berasa tertipu tetapi mereka tidak mampu hendak marah tatkala melihat senyuman manis gadis itu yang ternyata telah mencairkan hati mereka bertiga.

“Awak nak nyanyi lagu apa?” soal Azrizal seraya dia, Shafik dan Iqbal mengambil posisi masing-masing.

“Aku Tak Percaya Cinta, Liyana Jasmay,” balasnya manja.

“Okey, dah bersedia?”

“Dah,” gadis itu mencapai mikrofon dan bersedia untuk menyanyi. Kepalanya terangguk-angguk sebaik-baik muzik dimainkan oleh Azrizal, Shafik dan Iqbal. Semakin rancak muzik dimainkan, semakin lincah dia menari seiring dengan rentak muzik. Sesekali pandangan matanya melirik ke arah mereka bertiga.

Namun, tatkala suaranya mula bergema di mikrofon, Azrizal, Shafik dan Iqbal terkedu. Suaranya seperti... suaranya tidak ubah seperti katak puru yang memanggil hujan! Terlalu sumbang pada halwa telinga mereka.

Chup! Chup!” Shafik yang tidak tahan dengan suara itu menegah gadis itu daripada terus bernyanyi.

“Kenapa? Belum habis lagilah,” bantah gadis itu. Dia berasa tidak puas hati apabila nyanyiannya diganggu, apatah lagi diberhentikan secara tiba-tiba sebegitu.

“Tak payah nyanyi habislah. Sakit telinga kita orang dengar,” ujar Shafik tanpa berlapik.

“Tapi kawan-kawan saya kata suara saya sedap bila kita orang menyanyi karaoke. Dia orang selalu minta saya nyanyi untuk dia orang,” bidas gadis itu. Nampak sangat mereka bertiga tidak pandai menilai bakatnya.

“Kita orang bukan kawan-kawan awak. Maaf, ya. Awak bukan vokalis yang kita orang cari,” ujar Shafik.

“Apa, ingat orang perempuan macam saya tak boleh menyanyi ke?” Gadis itu mencampak mikrofon demi menunjukkan protesnya sebelum beredar dari situ.

“Ganas betul! Harapkan muka saja cantik,” rungut Shafik.

“Chap, ada lagi ke?” Azrizal sudah mula bosan.

Shafik melihat senarai nama di tangannya. “Ada. Lima orang lagi.”

“Lima orang?” Azrizal terjelepok ke lantai. Mampukah mereka bertiga bertahan sebelum kelima-lima calon itu selesai diuji bakat?


* * *


Sehingga selesai sesi uji bakat pada petang itu, mereka masih juga belum menemui vokalis yang sesuai dengan kumpulan muzik mereka. Semuanya tidak menepati kriteria yang mereka cari. Bahkan semuanya mempunyai berbagai-bagai ragam dan kerenah yang membuatkan mereka berasa letih. Letih kerana terpaksa melayan kerenah mereka walaupun dalam hati sudah menyumpah-nyumpah.

Ada calon yang mempunyai pakej lengkap yakni punya gaya tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan cara penyanyi yang sedia ada, mempunyai visi dan misi dalam bidang muzik serta bijak berinteraksi dengan mereka tatkala bernyanyi. Namun sayangnya, dia terlalu bongkak dan berlagak bagus sehingga menjengkelkan mereka bertiga. Kebiasaannya, orang sebegitu tidak akan bertahan lama dalam industri.

Ada yang mempunyai raut wajah yang kacak, bercita-cita tinggi untuk berjaya dalam bidang muzik dan mempunyai semangat yang berkobar-kobar tetapi suaranya hampeh. Terlalu halus. Malah, langsung tidak menyanyi mengikut tempo. Berterabur dan main belasah sahaja tanpa mempedulikan muzik yang mengiringi. Jangan kata bernyanyi untuk kumpulan, menyanyi solo pun tidak lepas!

Ada yang menyanyi entah apa-apa dan tidak jelas sebutannya. Seperti malu-malu hendak mengeluarkan suara padahal hendak menjadi penyanyi. Bagaimana hendak menjadi penyanyi jika hendak melontarkan suara pun payah?

Ada pula yang dapat menjiwai nyanyian dengan sepenuh hati tetapi sayangnya dia suka menyanyi sambil memejamkan mata. Katanya, dia tidak dapat menyanyi jika membuka mata. Mungkin dia malu ataupun takut jika melihat orang lain menontonnya menyanyi? Sikap ini juga tidak sepatutnya ada dalam diri seorang penyanyi.

Salah satu tabiat menyanyi yang mereka tidak suka dan akan tolak awal-awal ialah orang yang menyanyi sambil berdiri tegak seperti menyanyikan lagu ‘Negaraku’ walaupun lagu yang dipersembahkan itu adalah lagu rancak dan dapat mengumpan pendengar untuk menari.

“Macam mana ni? Tak ada seorang pun yang menepati kriteria yang kita nak,” omel Iqbal tatkala selesai uji bakat pada hari itu.

“Entahlah. Kita tengoklah esok macam mana pula. Insya-Allah kita akan jumpa juga dengan orang tu,” balas Azrizal. Dia tetap yakin dengan firasatnya. Bukan mudah untuk mendapatkan yang terbaik, tetapi mereka juga tidak harus mengalah dan berputus asa dengan sebegitu mudah.

“Nak buat iklan baru ke?” soal Shafik. Mungkin iklan yang dibuat sebelum ini tidak cukup terperinci dan terlalu umum sehingga terlalu ramai yang menghadiri uji bakat itu walaupun mereka tidak mempunyai ciri-ciri yang dicari. Semuanya datang tanpa misi dan visi yang jelas selain hanya mahu mengejar glamor.

“Lebih baik kita buat iklan baru. Yang lebih terperinci dan lebih jelas supaya hanya orang yang terbaik yang datang uji bakat tu,” cadang Azrizal. Dia tidak mahu perkara pada hari itu berulang lagi. Dia tidak sanggup hendak menghadapi pengalaman pada hari itu lagi.

“Nak tulis apa?” Shafik sudah bersedia hendak mencatat di atas kertas.

“Kau tulis kita perlukan seorang vokalis yang mempunyai kekuatan vokal dan berstamina...” ujar Azrizal.

“Ada gaya tersendiri,” tambah Iqbal.

“Bijak berinteraksi...”

“Pandai main alat muzik, sekurang-kurangnya recoder.”

“Hah? Kata nak cari vokalis, kenapa kena pandai main alat muzik pula?” soal Shafik. Tangannya terhenti menulis.

“Mestilah. Aku tak nak penyanyi yang cuma tahu buka mulut dan menyanyi. Sekur
ang-kurangnya, bila aku main ni, dia tahu ni bunyi gitar. Bila Iqbal ketuk ni, dia tahu tu bunyi dram.”

“Okey. Lagi?” Shafik kembali menyambung catatannya.

“Kacak, nak?” tanya Iqbal.

“Bolehlah. Kalau kacak tu, bonuslah tapi jangan terlebih kacak daripada kita sudahlah,” Azrizal sempat berseloroh. Seolah-olah sudah menjadi lumrah dalam sesebuah kumpulan muzik, si vokalis biasanya akan lebih menonjol daripada yang lain-lain. Selain muzik yang diketengahkan, suara vokalis juga memainkan peranan penting dalam memancing pendengar.

“Tapi, ada ke orang yang macam kita nak ni?” Shafik ragu-ragu dengan kriteria yang panjang berjela itu. Tidakkah permintaan mereka itu terlalu tinggi? Wujudkah vokalis yang mereka idam-idamkan itu?

“Mesti ada punyalah,” ujar Azrizal yakin.

“Siapa?” tanya Shafik.

Mereka bertiga terdiam. Cuba berfikir-fikir siapakah gerangan yang menepati kesemua ciri tersebut.

“Hah, aku tahu siapa yang ada semua ciri ni!” jeritan Iqbal memecah kebisuan yang melanda.

“Siapa?” soal Azrizal dan Shafik serentak.

“Aku,” celah suatu suara.

Serentak tiga pasang mata itu menumpu ke arah pintu...


Kugiran SMART (Bab 4)

“WALAU apa pun, aku tetap tak setuju!” tegas Azrizal selepas uji bakat calon terakhir itu. Mustahil dia akan menerima musuhnya sebagai salah seorang ahli kumpulan mereka. Baginya, sekali berkawan, akan tetap kawan. Begitu juga dengan musuh. Sekali sudah bermusuh, selamanya akan tetap musuh. Mungkin kawan boleh jadi musuh tetapi musuh tidak akan menjadi kawan.

“Tapi Riz, ni untuk kebaikan kumpulan kita juga,” pujuk Shafik. Kalau diikutkan hati, dia juga tidak mahu menerima orang itu tetapi demi kumpulan dan impian mereka, hal remeh-temeh sebegitu perlu ditolak ke tepi. Bak kata pepatah, buang yang keruh, ambil yang jernih.

“Aku takkan lupa apa yang dia pernah buat pada aku dulu,” Azrizal masih berdegil. Dia tidak akan berganjak dengan pendiriannya. Dia lebih rela kumpulan mereka tiada vokalis daripada terpaksa menerima orang yang telah menyakitkan hati mereka itu.

“Riz, yang lepas tu biarkan berlalu. Demi kumpulan dan impian kita,” Shafik masih berusaha memujuk.

“Yalah, Riz. Lagipun, dia saja yang memenuhi kriteria yang kita nak,” pujuk Iqbal pula.

“Kenapa dengan kau orang ni? Senang-senang saja nak terima dia? Kau orang dah lupa ke apa yang dia pernah buat pada kita dulu?” Hati Azrizal bertambah panas apabila kedua-dua teman baiknya itu menyebelahi orang lain. Sangkanya, mereka akan menyokong keputusannya tetapi tidak. Seolah-olah mereka sudah sebulat suara.

“Riz, cuba kau berfikiran matang sikit. Tak guna kalau kita terus berdendam macam ni. Buang masa saja. Dia pun dah pernah minta maaf dengan kau, bukan? Kita beri dia peluang, ya? Demi kebaikan kita semua.”

Azrizal memandang Shafik. Kemudian, memandang Iqbal. Hatinya berbelah bahagi sama ada mahu menurut kata hati yang tidak mahu menerima orang itu sebagai vokalis mereka ataupun melupakan sengketa lama demi kebaikan kumpulan dan impian mereka.


* * *


“Okey, sekarang kita orang akan adakan ujian kedua. Kalau kau lulus ujian kedua ini, kau layak ke ujian ketiga. Selepas kau lulus ketiga-tiga ujian ini, baru kita orang terima kau,” ujar Azrizal, serius.

“Okey,” balas calon vokalis itu, tenang. Seolah-olah dia sudah bersedia dari awal.

Shafik dan Iqbal sudah saling menjeling. Kemudian, kedua-duanya menjongket bahu, tanda tidak tahu apa-apa. Seingat mereka, mereka tidak pernah berbincang tentang ujian lain selain ujian vokal. Entah apa yang hendak dibuat oleh Azrizal. Walau apa pun yang cuba dilakukan, mereka berdua dapat mengagak yang Azrizal sengaja hendak mengenakan calon vokalis terakhir itu. Tunggu dan lihat sahajalah.

“Suara kau memang bagus, tapi itu belum cukup untuk melayakkan kau diterima dalam kumpulan ini,” tegas Azrizal. Meskipun hatinya mengakui yang suara calon vokalis terakhir itu sememangnya bagus selepas mendengarnya sendiri sebentar tadi, namun bibirnya enggan menuturkannya demi menjaga egonya. Tambahan pula, dia tidak mahu calon vokalis terakhir itu berasa bongkak dan berasa dirinya sudah menang.

“Baik, ujian kedua ini berbentuk teori. Mula-mula sekali, boleh kau terangkan apa yang kau tahu tentang muzik?” soal Azrizal, lagak seperti seorang juri profesional dalam pertandingan realiti TV.

“Bagi aku, definisi muzik itu sendiri adalah universal. Ia bergantung pada penerimaan seseorang memandangkan setiap daripada kita mempunyai sejarah, lokasi, budaya dan citarasa yang berbeza. Ada orang menganggap muzik ialah bunyi yang sedap didengari dan ada juga yang berpendapat muzik itu ialah apa-apa saja bunyi yang dihasilkan secara sengaja oleh seseorang ataupun kumpulan.

“Walaupun muzik adalah sejenis fenomena intuisi, untuk mencipta, memperbaiki dan mempersembahkannya adalah suatu seni. Mendengar muzik pula adalah sejenis hiburan manakala mempelajari dan memahaminya adalah sejenis bidang ataupun disiplin. Muzik adalah sebuah fenomena yang sangat unik yang mana ia dapat dimainkan dengan beberapa gabungan alatan muzik,” terang calon vokalis itu, lancar dan yakin.

“Okey. Seterusnya...” Azrizal diam sejenak. Sambil itu, matanya liar memerhatikan satu per satu alat muzik yang berada di dalam studio itu. Gitar, bass dan dram. Sebenarnya dia juga tidak merancang tentang ujian kedua itu, apatah lagi ujian ketiga. Tetapi dia tidak mahu menerima calon vokalis terakhir itu dengan mudah. Justeru, dia perlu memikirkan sesuatu bagi meyakinkan dirinya yang calon vokalis terakhir itu benar-benar bagus.

Seketika kemudian, dia mula mendapat idea! “Okey, aku tak nak tanya apa nama benda-benda ini sebab aku rasa setakat gitar, bass dan dram ni, semua orang pun dah tahu. Tapi kalau kau nak masuk kumpulan kami, sekurang-kurangnya kau kena tahu bahagian-bahagian setiap satu daripada alat muzik ini dan fungsinya sekali. Boleh kau terangkan kepada kita orang?”

Shafik dan Iqbal berbalas pandangan. Memang sah Azrizal sedang menguji calon vokalis terakhir itu! Bukankah mereka memerlukan penyanyi sahaja? Asalkan calon vokalis terakhir itu tahu menyanyi mengikut rentak muzik, bukankah sudah cukup? Macam-macamlah Azrizal ini.

“Okey, kita mulakan dengan gitar. Kau tahu tak yang mana satu gitar?” Azrizal sengaja mengherdik calon vokalis terakhir itu.

Calon vokalis terakhir itu mencapai sebuah gitar yang ada di situ. Dia memetik-metik tali gitar itu lantas menghasilkan irama.

“Aku bukan suruh kau main, aku suruh kau terangkan bahagian-bahagian gitar dan kegunaannya saja,” bentak Azrizal. Agaknya memang dia tidak tahu apa-apa pun tentang alat muzik!

“Sorry...” Calon vokalis itu menggosok-gosok gitar itu. Kemudian, dia memandang Azrizal. “Ini headstock. Ini tuning pegs untuk tukar bunyi string gitar sama ada nak bagi bunyinya kencang ataupun kendur. Ini nut. Ini neck. Ini frets. Body gitar,” terangnya seraya memegang bahagian gitar yang dikatakan satu per satu.

“Pick ups, bridge, pick up switch, untuk pilih pick up yang berbeza untuk nada dan suara yang berbeza. Tremelo. Ia disambungkan pada bridge. Dengan menggerakkan ia ke atas ataupun ke bawah, kita boleh ubah bridge untuk dapatkan pitch yang kita nak. Dan akhir sekali, volume dan tone controls, untuk adjust volume dan tone gitar.”

“Okey, bass pula?” Azrizal masih berwajah selamba. Walaupun pengetahuan muzik calon vokalis itu mula terserlah, dia masih cuba menidakkannya. Mungkin calon vokalis itu cuma bernasib baik. Mungkin juga dia cuma tahu tentang gitar sahaja. Bass dan dram belum tahu lagi.

Calon vokalis itu mencapai sebuah gitar bass pula. “Bass ini lebih kurang saja dengan gitar, tapi neck dan bodynya lebih panjang. Bass yang biasa ada empat string tapi ada juga yang mempunyai lapan, sepuluh, 12 dan 15 string. Pitchesnya juga satu oktaf lebih rendah daripada string gitar. Selain itu, frets bass juga dapat digunakan pada fingerboard. Pada frets bass, frets membahagikan fingerboard kepada semitone.”

Sambil calon vokalis itu menerangkan bahagian-bahagian bass tersebut, Azrizal memandang Shafik dan Iqbal. Cuba membaca reaksi dua temannya itu. Kedua-duanya kelihatan tekun dan memberikan sepenuh perhatian pada penerangan calon vokalis itu. Ketika di dalam kelas dahulu pun mereka tidak setekun ini!

Belum sempat Azrizal berkata apa-apa, calon vokalis itu sudah mula beralih pada dram pula lantas menerangkan nama bahagian-bahagian alat itu. “Dram pula terdiri daripada ride cymbal, floor tom, toms, bass drum, snare drum dan hi-hat.”

Apabila calon vokalis itu selesai menerangkan bahagian-bahagian gitar, bass dan dram itu, Shafik dan Iqbal memandang Azrizal. Daripada raut wajahnya, mereka pasti Azrizal sudah mula mengkagumi calon vokalis terakhir itu. Masakan tidak, mereka sendiri pun tidak pernah tahu nama bahagian dan fungsi-fungsinya!

Ternyata calon vokalis terakhir ini bukan calang-calang orang. Siapa dia sebenarnya? Namun dalam waktu yang sama, mereka juga pasti yang Azrizal tidak akan mudah menyerah kalah.


* * *


“Okey, sekarang ujian yang ketiga,” Azrizal masih cuba berlagak selamba. Mungkin dia tidak patut memperkecilkan kebolehan calon vokalis terakhir mereka ini. “Kau boleh pilih mana-mana alat muzik di sini dan mainkan satu lagu. Kita orang nak dengar.”

Tanpa banyak soal, calon vokalis terakhir itu membetulkan duduknya pada tempat duduk di dram memandangkan alat muzik itu yang paling hampir dengannya. Dia tersenyum memandang mereka, kemudian tangannya mula mengetuk-ngetuk peralatan dram itu menghasilkan satu irama. Bagaikan pemain dram profesional lagaknya.

“Selain dram, aku pun boleh main gitar.” Belum sempat Azrizal, Shafik dan Iqbal mencelah, dia sudah mencapai sebuah gitar dan memainkan sebuah lagu.

Azrizal, Shafik dan Iqbal berbalas pandangan. Dengan tiba-tiba sahaja ketiga-tiganya menjadi bisu seribu bahasa. Mereka benar-benar kagum dengan kebolehan calon vokalis itu. Dia bukan setakat hanya tahu teori tetapi juga amali!

“Jadi, macam mana? Adakah aku lulus ketiga-tiga ujian?” soal calon vokalis itu sambil tersenyum puas.

Shafik dan Iqbal berpaling ke arah Azrizal. Azrizal diam.


* * *


“Kami terima kau ini bukan sebab kau bagus sangat tapi sebab kita orang belum ada calon lain buat masa ini,” Azrizal masih cuba mempertahankan egonya. “Jadi, sebelum kita mulakan latihan, ada apa-apa soalan?”

“Ya, aku ada satu soalan. Apa nama kumpulan kau orang ni, ya?”

Azrizal, Shafik dan Iqbal berbalas pandangan sebelum akhirnya ketiga-tiganya tertumpu kepada vokalis baru mereka itu. Entah bagaimana mereka boleh terlupa tentang nama kumpulan mereka.

“Kugiran SMART,” balas Azrizal dengan yakin. Seolah-olah mereka sudah lama menggunakan nama itu. Lagipun, dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan vokalis baru mereka itu. Pasti vokalis baru mereka itu akan menggunakan kelemahan mereka untuk memperkecil-kecilkan mereka. Namun, mujur tiba-tiba sahaja nama itu terlintas di fikirannya.

“Hah?” Shafik dan Iqbal terkejut. Serentak kedua-duanya memandang ke arah Azrizal.

“Eh, sejak bila pula kita guna nama tu?” tanya Iqbal, namun pantas disiku oleh Azrizal. Iqbal mengaduh sakit. Lengannya yang disiku oleh Azrizal tadi digosok-gosok.

“Biar aku teka, SMART untuk SMK Abdul Rahman Talib?” tebak vokalis baru mereka itu.

“Kenapa? Ada masalah?” Azrizal menjawab soalan itu dengan soalan juga.

“Tak. Aku suka nama tu.”

“Bagus. Kalau macam tu, jom kita mula jamming.”

“Hmm... satu lagi.”

“Apa lagi?” Azrizal mula panas hati. Banyak tanya betul. Belum pun sampai sehari masuk kumpulan ini, sudah hendak tunjuk lagak.

“Kugiran SMART ni ada Facebook tak? Blog ke?”

“My Space adalah. Itu pun My Space kita orang sendiri-sendiri saja,” Shafik yang bertanggungjawab dalam hal itu menyampuk.

“My Space? Apa kelas? Sekarang zaman Facebooklah,” tingkah vokalis baru mereka itu.

“Facebook?” Azrizal, Shafik dan Iqbal berbalas pandangan.

“Jangan kata kau orang tak ada akaun Facebook lagi.” Vokalis baru mereka itu merenung setiap seorang daripada mereka bertiga. Melalui cara pandangan mereka, memang sah mereka belum mempunyai akaun Facebook! Ketinggalan zaman betul. “Kau orang ni hidup zaman bila?”

“Alah, bukannya susah sangat nak buka Facebook tu. Nanti nanti kita orang buatlah,” Azrizal cuba menutupi kelemahan mereka.

“Kau orang ni macam tak ada perancangan saja,” komen vokalis baru mereka itu.

“Kau ada rancangan baik punya ke?” soal Azrizal dengan nada separuh perli.

“Kalau ada, kau nak dengar tak?” Vokalis baru itu dan Azrizal saling beradu pandangan. Hanya masing-masing yang tahu apa yang tersirat di hati. Shafik dan Iqbal pula cuma memerhati. Tidak berani mencampuri.


Kugiran SMART (Bab 5)

“KAU ORANG duduk dulu, ya. Aku panggilkan mak aku sekejap,” ujarnya lalu menghilang ke dapur. Seperti yang dijanjikan, mereka bersetuju untuk bertandang ke rumahnya pada pagi Isnin itu bagi membincangkan strategi dan perancangan untuk memajukan kumpulan mereka.

Memandangkan Azrizal tidak mahu musuhnya itu menjejakkan kaki ke rumahnya manakala rumah Shafik terlalu bising dengan pertengkaran kedua-dua ibu bapanya hampir saban waktu dan ibu bapa Iqbal tidak suka dia membawa kawan-kawannya datang ke rumah, makanya mereka berasakan hanya rumah itu yang sesuai untuk dijadikan tempat mereka berempat berkumpul.

Ruang tamu yang dipenuhi set sofa dan perabot serba mewah itu membuatkan Azrizal, Shafik dan Iqbal terpegun. Semuanya tampak eksklusif dan mahal. Tetapi, sayangnya tidak ada televisyen. Hairan, ya. Takkanlah rumah orang kaya sebegini tidak mempunyai televisyen? Sekurang-kurangnya sebuah. Mereka tidak menonton televisyenkah?

Itu baru ruang tamu, belum lagi dapur dan bilik tidur. Mesti bilik air pun ada tab mandi. Masing-masing leka menghayati dekorasi di segenap ruang di situ apabila tiba-tiba vokalis baru mereka itu muncul bersama ibunya.

“Kau orang, kenalkan ini mak aku. Ma, ni kawan-kawan Sham satu sekolah dulu. Riz, Chap dan Ball,” Shamsul memperkenalkan kawan-kawannya kepada ibunya.

“Ball? Bola ke?” Dahi Puan Kamariah berkerut apabila mendengar nama Iqbal. Pelik benar bunyinya. Jika Bujang ataupun Khamis, bolehlah lagi diterima. Ini ‘ball’?

“Itu nama glamor, mak cik. Nama betul, Iqbal,” terang Iqbal. Bahu Azrizal dan Shafik pula sudah terhincut-hincut menahan tawa.

“Oh, Iqbal. Isy, nama dah sedap-sedap dipanggil Ball pula. Sham, nanti ajak dia orang makan tengah hari di sini sekali ya,” pelawa Puan Kamariah ramah.

“Makan?”

Bersinar-sinar mata mereka bertiga mendengar perkataan itu. Tidak mungkin mereka menolak tawaran yang jarang-jarang diterima itu.

“Ma, Sham bawa mereka naik ke atas dulu ya. Ada kerja sikit,” ujar Shamsul.

“Ha, yalah.”

“Kita orang naik dulu, mak cik,” pinta mereka dengan sopan.

“Jom kita ke atas!” ajak Shamsul.

Tatkala hendak ke tingkat atas, mereka perlu melintasi sebuah ruang yang seakan-akan ruang tamu yang mana ruang itu turut menempatkan set sofa dan sebuah televisyen yang berukuran 49 inci!

“Berapa banyak ruang tamu di rumah kau ni, Sham?” tanya Iqbal tiba-tiba.

“Satu sajalah.”

“Ini tempat apa pula?”

“Ini ruang untuk menonton TV,” beritahu Shamsul.

“Oo... lain ya dengan ruang tamu?”

“Ruang tamu untuk tetamu, ruang ni untuk menonton TV.”


* * *


“Mak aih, banyaknya CD kau!” Iqbal membelek-belek setiap keping cakera padat yang tersusun rapi di suatu rak sebaik-baik sahaja Shamsul menjemput mereka bertiga masuk ke bilik tidurnya. “Boleh aku pinjam?”

“Ambillah,” balas Shamsul.

“Terima kasih!” Sejurus diberi kebenaran, laju tangannya mencapai beberapa keping cakera padat yang berkenan di hatinya.

Azrizal dan Shafik menggeleng-geleng melihat gelagat teman mereka yang seperti tidak pernah tengok cakera padat itu. Mereka duduk di atas katil selepas dipelawa.

Mata Azrizal melilau. Segenap ruang di bilik tidur itu diperhati. Selain katil bujang, terdapat sebuah almari baju, sebuah meja belajar dan suatu rak yang dipenuhi cakera padat lagu tempatan dan antarabangsa. Di atas meja belajar itu pula terdapat sebuah komputer riba berjenama Apple. Di sebelah komputer riba itu, ada sebuah mesin pencetak yang dilengkapi dengan alat pengimbas dan fotostat.

Tiba-tiba pandangannya terhenti pada dua buah pintu di dalam bilik itu. Salah sebuahnya pasti bilik air tetapi dia tidak dapat meneka pintu yang sebuah lagi.

“Aduh!” Tiba-tiba Iqbal menekan perutnya. Serentak tiga yang lain menumpu kepadanya. “Sham, aku nak tumpang bilik air.”

“Di sana,” Shamsul menuding ke salah sebuah pintu di dalam biliknya. Iqbal terus meluru ke arah pintu yang ditunjukkan. Suasana sepi menguasai bilik itu. Masing-masing tidak tahu apa yang hendak diperkatakan.

“Sham, sunyi saja rumah kau ni. Kau tak ada adik-beradik lain ke?” tanya Shafik, sekadar mewujudkan perbualan. Dia memang tidak betah dengan suasana yang terlalu sunyi.

“Aku anak tunggal,” balas Shamsul.

“Tak sunyi ke?”

“Masa di KL dulu tak adalah sunyi sangat sebab aku ada ramai kawan. Tapi sejak berpindah ke sini, kawan aku cuma laptop, gitar, bass dan dram sajalah,” luah Shamsul, jujur.

“Kau ada gitar ke? Mana? Aku tak nampak pun.” Pandangan mata Shafik melilau ke sekeliling bilik itu tetapi dia tidak nampak sebuah gitar pun di situ, apatah lagi dram.

“Bukan setakat gitar, bass dan dram pun aku ada.”

“Biar betul?”

“Betullah. Kenapa? Kau tak percaya? Mari aku tunjuk sesuatu!” Shamsul bangkit menuju ke sebuah pintu yang dilihat oleh Azrizal tadi.

“Jom, Riz!” Shafik menepuk paha Azrizal.

Dengan langkah yang malas, Azrizal mengekor langkah mereka.


* * *


Mulut mereka terkunci sebaik-baik sahaja melihat apa yang ada di dalam bilik itu. Sebuah studio muzik yang dilengkapi dengan peralatan muzik! Gitar, bass, dram, keyboard, semuanya ada. Memang kalah studio latihan muzik yang selalu mereka pergi.

“Fuyoo... siap ada studio lagi!” Akhirnya suara Shafik yang tadinya seolah-olah terlekat di kerongkong keluar juga. Matanya seakan sukar mempercayai apa yang dilihat di hadapan mata pada ketika itu.

“Kau orang percaya tak kalau aku cakap yang masa di KL dulu, aku pun ada kumpulan muzik sendiri,” Shamsul membuka cerita.

“Serius?”

“Seriuslah.”

“Kau main apa?”

“Apa lagi, vokalislah tapi masa yang sama aku pun main gitar.”

Shafik mendengar cerita Shamsul sambil membelek-belek peralatan muzik di situ. Ternyata hidup Shamsul memang mewah. Dia? Jangan kata gitar, plektrum atau pemetik gitar pun dia tidak mampu hendak beli.

“Tapi, kenapa kau pindah ke sini? Kau tak rasa sayang ke tinggalkan kumpulan muzik kau di KL tu?” tanya Shafik.

“Ayah aku ditugaskan untuk menguruskan cawangan baru di sini. Mulanya aku memang tak nak ikut tapi ayah aku bertegas juga nak aku pindah sama,” cerita Shamsul lagi. Pertama kali dia bercerita mengenai keluarganya kepada orang lain sejak berpindah ke situ beberapa bulan yang lalu. Tambahan pula, dia memang tidak rapat dengan sesiapa pun di sekolah baru itu lantaran dia terlalu berhati-hati dalam berkawan.

“Ayah kau kerja apa?”

“Kerja...” Belum sempat Shamsul menjawab, kedengaran suara Iqbal memanggil nama mereka di luar bilik itu.

“Kita orang di sini!” laung Shafik.

Tidak lama kemudian, Iqbal muncul di muka pintu. Seperti Azrizal dan Shafik, dia juga terpegun melihat keadaan di dalam bilik itu. “Wau, hebatnya!” puji Iqbal lantas tanpa segan silu, dia melabuhkan punggung di tempat duduk pemain dram. “Ini sudah bagus. Nanti tak payahlah kita sewa studio jamming lagi. Kan, Sham?”

“Boleh saja kalau kau orang nak jamming di sini. Aku pun selalu sorang-sorang. Bosan,” rungut Shamsul.

Ball ni selamba saja. Macamlah dah kenal lama. Desis Azrizal dalam hati. Dia kurang senang dengan sikap dua temannya itu.

“Jadi, semua dah ada ni. Jomlah bincang cepat,” celah Azrizal. Dia malas hendak berlama-lama di situ. Bukan sahaja punggungnya yang panas, bahkan hatinya turut membara apabila melihat Shafik dan Iqbal sudah mula mengkagumi Shamsul. Seolah-olah mereka tidak pernah bermusuh sebelum ini.

Shamsul yang perasan akan sikap Azrizal yang dingin itu tidak membantah. Mungkin Azrizal mengambil masa untuk melupakan permusuhan mereka dahulu. Biarlah masa yang menentukannya. “Jom kita bincang di luar.”


* * *


“Okey. Cadangan aku, apa kata kita buat satu logo untuk kumpulan kita?” Shamsul menyuarakan cadangannya.

“Idea yang bagus!” sokong Iqbal.

“Kita ni nak main muzik saja. Bukannya nak masuk rancangan realiti TV ke apa. Buat apa nak beria-ia? Nanti orang kata gila glamor pula,” Azrizal sengaja membantah walaupun dia juga berasakan idea itu idea yang bagus.

“Ini bukan soal gila glamor ke tak. Ini soal promosi dan pemasaran. Anggaplah ini macam salah satu daripada strategi promosi,” Shamsul menerangkan ideanya dengan lebih lanjut.

“Promosi apa?” tanya Shafik.

“Promosi kumpulan kita inilah. Kita kan nak buat Facebook. Jadi, kita letaklah gambar logo tu sebagai gambar profil kita,” tambah Shamsul lagi.

“Tapi siapa yang nak buat logo tu?” tanya Iqbal pula.

“Azrizal,” ujar Shamsul.

Azrizal sedikit tersentak. “Kenapa aku pula?”

“Sebab kau pandai melukis,” balas Shamsul ringkas.

“Boleh, kan, Riz?” tanya Shafik apabila Azrizal cuma mendiamkan diri.

Sikap berdiam dirinya itu membuatkan Shafik, Iqbal dan Shamsul berdebar-debar lantaran mereka tidak tahu apa yang sedang difikirkannya. Masing-masing mengakui yang Azrizal memang pandai melukis. Jika tidak, sia-sia sahaja dia mengambil kelas Seni Lukis ketika SPM dahulu.

“Bagi pensel dan kertas,” ujar Azrizal selepas membisu sejenak.

Mereka tersenyum ceria mendengarkan ayat yang keluar daripada bibir Azrizal itu. Shamsul pantas mencapai sebatang pensel dan beberapa keping kertas A4 putih di tepi komputer ribanya lalu menyerahkannya kepada Azrizal.

“Okey, kau lukis logo, biar aku buat Facebook,” ujar Shamsul seraya menghidupkan komputer ribanya di atas meja.

Shafik menyendeng di sebelah Shamsul manakala Iqbal pula membantu Azrizal mencari ilham. Kesemuanya khusyuk membuat tugas masing-masing sehingga tidak sedar akan waktu makan tengah hari.


* * *


“Okey, dah siap! Cuba kau orang tengok,” Azrizal menghulurkan kertas A4 yang sudah dilakar kepada mereka bertiga dan meminta pendapat mereka. “Macam mana?”

“Cantik,” puji Shamsul.

“Memanglah cantik, tapi takkan hitam putih saja?” soal Shafik.

“Habis tu, takkan nak guna pensel warna pula? Tak cantiklah,” balas Azrizal.

“Buat apa susah-susah pakai pensel warna? Apa guna ada teknologi?” celah Shamsul, lantas terus mengimbas lakaran itu pada alat pengimbas yang berada di sebelah komputer ribanya. Bukan sahaja alat pengimbas, malah mesin itu turut dilengkapi dengan mesin pencetak dan fotostat.

Selepas mengimbas lakaran itu pada alat pengimbas, dia membuka fail yang berformat jpeg logo itu di perisian Adobe Photoshop, satu perisian yang digunakan untuk memanipulasi gambar atau imej dan teks.

“Okey, kau orang nak logo ni warna apa?” tanya Shamsul.

Azrizal, Shafik dan Iqbal berdiri di belakang kerusi yang diduduki oleh Shamsul seraya memandang pada skrin komputer riba itu.

“Aku nak warna biru,” ujar Azrizal.

Shamsul memilih warna biru setelah mengklik pada kekotak warna. “Biru ni?” Sambil tangannya cekap mengawal tetikus, mulutnya bertanya.

“Tak cantiklah. Cuba kau masukkan warna biru ni,” cadang Azrizal seraya menunjuk pada warna biru gelap.

Shamsul menurut.

“Aku rasa okey.”

“Aku pun.”

Ketika Azrizal dan Shamsul sibuk berbincang tentang warna yang sesuai untuk logo kumpulan mereka itu, Shafik dan Iqbal saling berbalas pandangan dengan penuh makna. Azrizal dan Shamsul kelihatan sepakat dan sedang bekerjasama dengan baik. Mereka berasa lega melihat situasi di hadapan mata.

“Chap, Ball, macam mana?” tanya Azrizal apabila menyedari yang hanya dia dan Shamsul yang menyertai perbincangan itu. Bukankah mereka berada dalam satu kumpulan? Jadi, setiap orang daripada mereka berempat berhak mengutarakan pendapat dan pandangan masing-masing.

“Okeylah tu,” balas Shafik.

“Aku pun setuju.”

“Betul ke semua setuju ni?”

“Betullah. Aku bukannya tahu sangat pasal seni lukis ni,” balas Iqbal.

“Entah. Kita orang ikut saja,” ujar Shafik pula.

Akhirnya, mereka sepakat untuk memilih logo itu.

“Apa lagi? Cepatlah upload di Facebook,” gesa Shafik tidak sabar.

Shamsul akur. Tidak sampai satu minit, fan page mereka sudah pun wujud di laman sosial Facebook. “Okey, dah siap. Jadi, kita tunggu sajalah bila ada sesiapa like kita nanti,” Shamsul tersenyum puas. Begitu juga dengan Azrizal, Shafik dan Iqbal. Entah bagaimana sambutan fan page mereka ini nanti? Ada ke orang yang sudi hendak like pada fan page mereka ini?


Kugiran SMART (Bab 6)

SUASANA waktu makan tengah hari pada hari itu sedikit berbeza daripada hari-hari biasa. Kemeriahan dan gelak ketawa memenuhi segenap ruang makan itu. Meja makan yang mempunyai enam buah kerusi itu biasanya hanya terisi tiga buah kerusi. Tetapi kini, keenam-enamnya berpenghuni.

Selain itu, jumlah lauk juga ditambah bagi menampung enam perut. Jika kebiasaannya hanya dua ataupun tiga jenis lauk, tetapi kali ini ada lima jenis lauk. Ada ayam masak merah, telur dadar, ikan kerapu tiga rasa, sayur hailan dan kacang panjang. Semuanya membuka selera.

Apabila diberitahu yang kesemua lauk itu dimasak oleh Puan Kamariah sendiri tanpa bantuan pembantu rumah, Azrizal, Shafik dan Iqbal berasa sedikit terkejut. Masakan orang kaya sebegini tidak mahu menggaji pembantu rumah? Bukankah kebiasaannya orang kaya sebegini lebih suka mengarahkan pembantu rumah buat itu dan ini sedangkan mereka hanya duduk goyang kaki tanpa berbuat apa-apa?

Tiba-tiba sahaja mereka berasa kagum dengan Puan Kamariah. Bukan kerana dia pandai memasak ataupun mengemas rumah, tetapi kerana dia tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri mahupun seorang ibu kepada suami dan anaknya.

Dengan wang gaji suaminya yang pastinya mencecah lima angka setiap bulan itu, Puan Kamariah sememangnya tidak perlu bekerja. Mungkin kerana itu Puan Kamariah mengisi masanya dengan memasak dan melakukan kerja-kerja rumah. Melihatkan persekitaran rumah yang bersih itu, mereka yakin Puan Kamariah seorang suri rumah yang teliti dan pembersih.

Beruntung betul Shamsul kerana mempunyai seorang ibu yang menjaga kebajikannya. Tidak hairanlah jika dia juga merupakan salah seorang pelajar cemerlang di dalam kelas mereka. Jika dahulu, senarai sepuluh tempat pertama dimonopoli oleh pelajar perempuan, tetapi sejak kedatangan Shamsul ke sekolah mereka, senarai itu telah berubah. Shamsul berjaya memecahkan ‘tradisi’ kelas mereka itu. Mungkin kerana itu juga, Shamsul dikagumi oleh segelintir pelajar perempuan kelas mereka yang menganggap kaum lelaki yang cemerlang sudah pupus.

Namun, dalam banyak-banyak pelajar perempuan itu, Shamsul telah memilih Athira walaupun dia tahu Athira sudah bersama Azrizal. Kerana itulah, Azrizal memusuhinya. Namun, segala-galanya terbongkar apabila Fatin mengaku merancang semuanya.

“Tambah nasi lagi, Iqbal.” Puan Kamariah mencedok nasi ke pinggan Iqbal yang sudah licin itu. “Jangan malu-malu.”

“Terima kasih, mak cik. Kalau pasal makan, memang saya tak malu,” seloroh Iqbal. Kalau malu, berlaparlah jawabnya.

“Saya pun nak tambah nasi juga,” ujar Shafik sambil menghulurkan pinggannya yang sudah kosong kepada Puan Kamariah.

Dengan senang hati, Puan Kamariah menyambut huluran pinggan daripada Shafik. Mencedok nasi tambah, kemudian memberikan semula kepada Shafik. Gembira benar dia melihat anak-anak muda itu menikmati masakannya dengan penuh berselera.

Semenjak mereka sekeluarga berpindah ke situ pada awal tahun lalu, belum pernah lagi anak tunggalnya itu membawa tetamu pulang. Dia gembira melihat anaknya itu sudah mendapat kawan. Jika tidak, beberapa bulan yang lalu, anaknya itu asyik merungut bosan apabila berada di rumah. Suaminya juga turut merasakan hal yang serupa.

“Riz, tak nak tambah nasi ke?” Pertanyaan Puan Kamariah menyentakkan Azrizal. Dia menggeleng, tanda tidak mahu. Dari tadi Puan Kamariah memperhatikan Azrizal. Anak muda itu lebih banyak diam daripada dua temannya. Mungkin Azrizal masih segan dengan mereka sekeluarga. Detak hatinya.

“Sejak kami berpindah ke sini, inilah kali pertama Sham bawa kawan-kawan datang ke rumah.” Tengku Baharin juga ternyata senang hati dengan kehadiran Azrizal, Shafik dan Iqbal. Sekurang-kurangnya, dia tidak perlu lagi risau akan anak tunggalnya itu. Dia tahu Shamsul tidak pernah bersetuju dengan keputusannya untuk berpindah ke situ. Namun kini dia lega apabila melihat Shamsul sudah mempunyai kawan.

“Betul tu. Selalu-selalulah datang sini, temankan si Sham ni. Dia pun seorang saja,” Puan Kamariah mengiakan kata-kata suaminya itu.

“Oh, kalau dapat makan sedap-sedap macam ni, hari-hari datang pun tak apa,” seloroh Shafik.

“Betul!” Iqbal menyokong.

“Eh, boleh. Apa salahnya. Kan, bang?”

Tengku Baharin cuma mengangguk.

“Eleh, kalau pasal makan, bukan main lagi,” Shamsul menyampuk.

Mereka semua tertawa dan semakin rancak berbual-bual kecuali Azrizal.


* * *


Sebaik-baik sahaja pulang dari rumah Shamsul, Azrizal terus merebahkan tubuhnya ke katil. Seharian berada di rumah Shamsul membuatkan dia semakin berasa rendah diri. Keluarga Shamsul lebih mewah berbanding dengan keluarganya tetapi ibu dan bapa Shamsul tetap mempunyai masa untuk anaknya. Tetapi, ibu dan bapanya? Jangan kata hendak duduk makan semeja, hendak nampak muka pun payah. Matanya dipejam. Cuba merehatkan diri.

Namun baru sahaja dia hendak melelapkan mata, tiba-tiba telefon di ruang tamu rumahnya berbunyi. Ah, biarlah! Entah mengapa dia berasa malas hendak menjawab panggilan telefon itu. Badannya kepenatan. Tetapi bagaimana jika Laily yang menelefon? Mungkinkah Laily? Apabila memikirkan yang panggilan itu mungkin daripada Laily, dia bergegas menuju ke ruang tamu untuk menjawab panggilan telefon itu.

“Helo, La...” Nyaris-nyaris dia menyebut nama Laily apabila suara manja itu menerjah ke gegendang telinganya.

“Hai, Riz! Buat apa tu?”

“Oh, Tya. Tak ada apa. Baring-baring saja,” jawab Azrizal acuh tidak acuh. Dia tahu jika Athira yang menelefon, pasti akan mengambil masa yang panjang. Alamatnya, tidak dapatlah dia berehat malam ini. Bukannya dia tidak sukakan Athira, tetapi badannya juga perlukan rehat.

“Riz pergi mana tadi? Dah banyak kali Tya telefon tapi tak ada orang jawab,” luah Athira. Sejak dia berbaik dengan Azrizal kembali, Azrizal sudah jarang-jarang menelefonnya. Tidak seperti ketika mereka bercinta dahulu. Jadi, terpaksalah dia menebalkan muka menelefon Azrizal. Adakalanya dia terfikir juga, mungkin Azrizal masih marahkannya.

“Riz lepak dengan Chap, Ball dan Sham...” Azrizal tersentak dengan kelancangan mulutnya sendiri.

“Ha, Sham?” soal Athira, meminta kepastian. Dia tersalah dengarkah?

“Bukan Shamlah,” Azrizal menafikan. Entah mengapa dia rasa yang Athira tidak perlu tahu akan hal itu.

“Itulah, Tya pun pelik juga. Sejak bila pula Riz baik dengan Sham, bukan?” Athira tertawa kecil. Mungkin dia berasa lucu dengan sangkaannya sendiri tadi. Tidak mungkin Azrizal dan Shamsul berkawan. Mereka berdua tidak pernah sebulu. Lagipun, dia sendiri masih belum dapat memaafkan perbuatan Shamsul dan Fatin. Fatin? Ah, dia tidak mahu mengambil tahu tentang gadis itu lagi!

“Ada apa Tya telefon Riz ni?” Azrizal melihat jam di dinding ruang tamunya itu. Sudah 10.30 malam.

“Saja, rindu...” ujar Athira tanpa berselindung.

Azrizal diam. Entah mengapa perasaannya tidak terusik sedikit pun tatkala mendengar ungkapan itu. Jika dahulu, ungkapan itulah yang dinanti-nantikan daripada bibir gadis itu. Tetapi kini, ungkapan itu dianggap biasa sahaja.

“Riz... kenapa diam?”

“Oh, maaf. Riz mengantuk,” dalih Azrizal.

“Mengantuk? Kan awal lagi ni. Bukan ke biasanya Riz memang burung hantu?” seloroh Athira. Dia tahu benar dengan sikap Azrizal yang suka berjaga malam itu.

Mungkin kepenatan yang membuatkannya mengantuk. Azrizal menguap beberapa kali tetapi pastinya Athira tidak dapat melihat. Justeru, Athira semakin rancak bercerita.

“Riz, Tya dah buat Facebook tau. Nanti Riz buat juga, ya. Lepas tu, add Tya tau.”

“Kenapa pula tiba-tiba saja Tya buat Facebook pula ni?” Mahu tidak mahu, Azrizal terpaksa juga melayan Athira berbual.

“Ada kawan ajak buat. Tya pun bosan duduk di rumah. Jadi, saja-sajalah buat. Seronok juga rupanya Facebook ni. Dapat contact kawan-kawan lama balik. Riz tahu budak-budak kelas kita pun dah ramai yang ada dalam tu. Nanti bila masing-masing dah sambung belajar lepas keputusan SPM keluar, tak adalah kita semua lost contact, bukan?”

Azrizal mengiakan sahaja. Dia sudah tidak tahan. Matanya sudah hampir terkantuk. “Tya, maaf ya. Riz betul-betul mengantuk ni. Esok Riz telefon Tya, ya.”

“Betul?”

“Betul.”

“Janji?”

“Ya, Riz janji.”

“Okey. Nanti jangan lupa add Tya di Facebook tau.”

“Okey.”

“Bye!”


* * *


Dia cuba melelapkan mata. Namun, tiba-tiba sahaja matanya tidak mengantuk pula. Puas dia mengiring ke kiri dan ke kanan. Matanya tetap tidak mahu lelap. Sudahnya, dia bangkit duduk di atas katil.

Tiba-tiba, matanya tertancap pada komputernya. Komputer itu ditenung lama. Kemudian, lambat-lambat dia menghampiri komputer itu. Selepas komputer itu terpasang, dia terus melayari laman sosial My Space. Sekali lagi hatinya hampa apabila melihat mesejnya masih belum berjawab, malah mesej itu masih belum dibaca.

Laily, ke mana awak pergi? Kenapa awak tak balas mesej saya? Saya rindukan awak.


Kugiran SMART (Bab 7)

Perkenalkan aku si raja pesta
Yang robohkan hati setiap wanita
Satu lantai ke lantai yang berbeza
Setiap malam, setiap malam

Dan tika DJ mulai memainkan
Lagu-lagu yang lama ku dambakan
Ke kanan ke kiri depan dan belakang
Kaki mulai jadi penguasa dansa... hei!



EMPAT anak muda itu begitu bersemangat beraksi di atas pentas konsert sulung mereka. Jeritan dan sorakan para penonton yang membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil itu seakan-akan membakar semangat mereka bagi mempersembahkan yang terbaik buat peminat-peminat yang telah banyak menyokong mereka.

Selaku vokalis, Shamsul bijak menguasai pentas dengan aksi lincahnya. Adakalanya dia mengacukan mikrofon kepada penonton untuk bernyanyi bersama. Azrizal dan Syafik yang masing-masing berperanan sebagai gitaris dan bassist juga tidak mahu kalah dan turut menari mengikut rentak lagu sambil bermain alat muzik masing-masing. Mujur pergerakan pemain dram agak terbatas. Jika tidak, pasti Iqbal juga akan turut menari seperti yang lainnya.

Para penonton pula seakan diserang histeria apabila melihat setiap aksi keempat-empatnya. Ada yang menyanyi dan menari mengikut rentak lagu yang dimainkan. Ada yang mengibar-ngibarkan kain rentang yang tertulis dengan tulisan ‘Kugiran SMART’. Ada juga yang hanya duduk diam menikmati muzik yang didendangkan. Sememangnya tiada sesiapa pun yang dapat menjangka akan sambutan hebat sebegini. Ternyata, nama mereka menjadi sebutan dalam masa yang singkat.

Dalam kemeriahan itu, tiba-tiba sahaja Azrizal terjun ke arah penonton bersama gitarnya dengan harapan disambut oleh penonton. Namun malangnya, tiada sesiapa pun yang menyambutnya dan menyebabkannya jatuh tersembam ke lantai.

“Riz!” Semua yang berada di situ tergamam.


* * *


“Aduh!” Azrizal mengaduh kesakitan sambil memegang kepalanya.

“Riz!” Suara yang memanggil namanya kedengaran lagi. Namun kali ini, suara itu diiringi dengan bunyi hon motosikal yang kuat.

“Bunyi apa pula tu?” Azrizal membuka mata dan baru tersedar di mana dia berada. Cis, mimpi rupanya! Tapi nasib baik cuma mimpi saja. Adoi...

“Pukul berapa dah ni? Siapalah yang memekak pagi-pagi ni?” Dengan mata yang masih kuyu, dia bangkit berdiri. Terhuyung-hayang dia berjalan ke katil. Jam loceng yang berbentuk gitar di sisi katil dilihat. Pukul 12.00? Alamak, mampus aku! Mesti Chap dengan Ball marah aku. Azrizal menjenguk ke luar tingkap.

“Chap, Ball, aku baru bangunlah! Kau orang tunggu sekejap, ya!” jerit Azrizal dari tingkap biliknya.

“Cepat sikit tau!” laung Shafik yang membonceng motosikal bersama Iqbal. Patutlah tiada respons dari tadi, rupa-rupanya kawan mereka itu belum bangun tidur lagi.

“Okey, sekejap!” Azrizal bingkas menuju ke bilik mandi. Membasuh muka dan memberus gigi ala kadar sebelum bersiram. Cukup beberapa jirusan, dia keluar dari bilik mandi.

Pintu almari bajunya dibuka. Kosong. Pandangan matanya ditala ke arah longgokan baju di dalam bakul yang berada di tepi pintu biliknya. Spontan tangannya mencapai sehelai baju-T yang berada di atas sekali. Dia menghidu baju-T itu. Masih boleh dipakai kut. Fikirnya.

Selepas menyarungkan baju-T itu ke tubuh, dia menyembur minyak wangi bagi menutupi bau hapak baju-T itu. Rambutnya dikuak ke belakang dengan tangan. Tidak perlu disikat memandangkan rambutnya terlalu kontot untuk menggunakan sikat. Walaupun dia bebas menggayakan fesyen rambutnya memandangkan dia sudah tamat persekolahan, namun dia tidak gemar berambut panjang. Dompet di atas meja dicapai lalu langkah kakinya diatur laju menuju ke pintu utama.

“Maaf, aku lambat,” ujarnya kepada Shafik dan Iqbal yang pastinya sudah lama menunggu.

Shafik dan Iqbal yang sudah mengambil tempat di sebuah meja kayu yang disediakan di halaman rumah Azrizal itu terlopong melihat Azrizal. Mereka berbalas pandangan. Serta-merta tawa mereka memecah suasana.

“Kenapa kau orang gelak? Ada apa-apa yang tak kena dengan aku ke?” Azrizal membelek-belek penampilannya.

“Riz, Riz. Kau ni mengigau ke apa?” soal Shafik dengan tawa yang masih bersisa.

“Mengigau apanya?” Azrizal kehairanan. Masih tidak dapat menangkap apa yang mencuit hati dua teman akrabnya itu.

“Kau dah bangun ke belum ni, Riz? Yang kau pakai baju terbalik ni kenapa?” soal Shafik dengan tawa yang cuba ditahan.

“Hah?” Azrizal tercengang. Pantas dia membelek baju-T yang membaluti tubuhnya.

“Memang sah kau ni tak bangun tidur lagi.” Iqbal menggeleng melihat gelagat Azrizal yang mungkin masih mamai pada pagi itu.

Tiba-tiba kedua-dua pipi Azrizal terasa membahang. Macam manalah dia boleh terpakai baju terbalik? Buat malu sahaja. Nasib baiklah Chap dan Ball itu kawan baiknya sendiri. Jadi, kuranglah sedikit malunya. “Sekejap, aku pergi betulkan.”

“Tak payah betulkan pun tak apa. Dah smart dah tu.” Shafik dan Iqbal tertawa lucu.

Azrizal mendengus kecil lantas berlalu ke dalam rumah. Tawa Shafik dan Iqbal terburai lagi.


* * *


Sejurus nama pengguna dan kata laluan dimasukkan, keempat-empatnya menanti dengan penuh debaran di hadapan komputer riba milik Shamsul. Mereka sudah sepakat untuk melihat sambutan terhadap fan page yang dibuat semalam bersama-sama. Semuanya kelihatan sudah tidak sabar. Namun dalam waktu yang sama, mereka juga tidak terlepas daripada merasa resah dan bimbang.

Berbagai-bagai persoalan bermain di benak mereka. Ada tidak orang yang like page itu? Jika ada, berapa orang? Ada tidak komen ataupun apa-apa yang ditinggalkan pada dinding page itu?

Sejurus fan page itu tertera pada skrin komputer riba itu, masing-masing kaku tanpa kata.

“Dua orang saja?” Terdengar keluhan hampa daripada Azrizal sebaik-baik melihat jumlah fan yang tertera di situ.

“Itu pun kawan-kawan kita juga,” celah Iqbal. Dia kenal benar dengan dua nama itu. Kedua-duanya juga adalah teman sekolah mereka di SMK Abdul Rahman Talib dahulu. Pasti mereka like page itu kerana nama SMART.

“Alah, relakslah. Inikan baru permulaan. Mungkin masih belum ramai yang tahu pasal page kita ni,” ujar Shamsul, berfikiran positif. Masih terlalu awal untuk berputus asa. Perjalanan mereka masih jauh. “Kita tunggulah beberapa minggu lagi. Tengok macam mana.”

“Aku rasa tak ramai yang like page kita ni sebab tak ada muka orang kut. Jadi, aku ada cadangan. Apa kata kalau kita letak muka kita? Mesti ramai awek yang terpikat dan like beramai-ramai.” Shafik mengangkat kening. Dia pasti mereka semua akan bersetuju dengan cadangannya itu.

Azrizal, Iqbal dan Shamsul berbalas pandangan. Satu saat, dua saat... Kemudian, serentak mereka meluku Shafik dari segenap arah.

“Adoi!” Shafik terjerit kecil.

“Itu gila glamor namanya,” bantah Azrizal.

“Entah. Macamlah kacak sangat,” ujar Iqbal pula.

“Habis tu, kau orang ada idea lain?” tanya Shafik.

Masing-masing terdiam. Suasana hening seketika. Otak keempat-empatnya ligat berfikir.

“Hah! Apa kata...” Shafik teragak-agak hendak meneruskan ayatnya apabila melihat renungan tajam ketiga-tiga temannya itu.


*Lagu dan lirik oleh Eross Candra (Jagostu)

No comments:

Post a Comment