“Dan diantara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia menciptakan dari diri kamu berpasang-pasangan supaya kamu merasa tenang bersamanya; dan Dia jadikan sesama kamu perasaan kasih sayang dan rahmat; sesungguhnya yang demikian itu menjadi tanda-tanda bagi orang yang berfikir” ( Ar-Ruum : 21 )

Wednesday, March 23, 2011

Kepercayaan Hantu dalam Masyarakat Melayu

Hantu merupakan kepercayaan mengenai makhluk halus atau semangat jahat yang wujud di dalam alam lain yang terdapat dalam semua kebudayaan di dunia. Dalam masyarakat Melayu, hantu, semangat, jembalang atau penunggu telah wujud sejak zaman animisme lagi. Ketika itu semua benda besar seperti pokok atau batu yang besar dianggap menjadi kediaman jin atau penunggu yang perlu dijaga dengan baik agar jin tersebut tidak mengamuk dan membahayakan penduduk sekitar. Malahan jamuan makanan atau acak disediakan oleh seseorang yang berpengalaman yang lebih dikenali sebagai pawang bagi memastikan penunggu tersebut tidak mengganggu manusia dan sebaliknya akan membantu penduduk daripada serangan wabak penyakit dan musuh tanaman. Amalan ini amat besar dosanya dan dikategorikan sebagai Syirik Jali iaitu perbuatan syirik yang jelas dan nyata. Amatlah perlu berhati-hati agar tidak terjebak ke dalam golongan yang dimurkai Allah s.w.t. Walau bagaimanapun amalan ini masih kekal di kalangan penduduk asli yang masih mengamalkan kepercayaan animisme.

Dengan kedatangan agama Hindu dan Buddha, konsep penunggu dan jembalang diubah menjadi konsep dewa-dewa yang mendiami tempat-tempat tertentu. Bagi menghormati dewa-dewa ini, kuil-kuil dibina ditempat-tempat tersebut dengan tujuan pemujaan. Keadaan ini tidak berubah dengan kedatangan orang-orang Cina yang juga mendirikan tokong kecil di bawah pokok atau tempat tertentu bagi mendapatkan bantuan tuah kepada mereka.


Kedatangan ugama Islam telah menyedarkan bahawa tidak terdapat roh dan hantu, yang ada hanyalah mahkluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Makhluk halus ini yang dikenali sebagai jin dan syaitan, dianggap mendiami alam yang berbeza dengan manusia. Islam mengajar bahawa makhluk halus atau jin ini tidak dapat memudaratkan manusia kecuali dengan keizinan Allah swt. Sebagai umat Islam yang beriman dengan perkara-perkara ghaib, kita hanya takut dan mengesakan Allah semata-mata. Kita digesa agar menjauhi pujukan syaitan dan hendaklah selalu berdoa 'Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam - A'uzubillah himinash syaitanirrajim'

Bagaimanapun kebudayaan Melayu yang menebal menyebabkan masih ada yang terkeliru beza antara Islam dan kebudayaan Melayu, yang mendorong mereka menyangka amalan-amalan kebudayaan adalah amalan Islam. Sebagai contoh mandi Safar pernah disalah-anggap satu amalan Islam, sehinggalah para ulamak telah tampil ke hadapan bagi menjelaskan amalan Islam yang sebenar, yang akhirnya mendorong pesta mandi safar dimansuhkan. Bagaimanapun budaya hantu sukar dikikis daripada masyarakat kerana kecenderungan ibubapa yang sering menakut-nakutkan anak-anak dengan kewujudan hantu hingga menyebabkan anak-anak mereka benar-benar takut kepada hantu dan percayakan bahawa hantu itu berkuasa untuk memudaratkan mereka.

Peranan Media “Menghantui” Minda Melayu

Pada zaman awal perfileman, filem-filem hantu Melayu seperti Pontianak, Dendam Pontianak dan Pontianak Gua Musang telah mendapat sambutan hangat daripada para penonton dan penggemar filem pada waktu itu. Akibat kejahilan dalam agama dan ramai yang tidak terpelajar, filem-filem itu telah berjaya mempengaruhi masyarakat zaman dahulu. Ini telah mendorong kerajaan menghentikan pembuatan dan penayangan filem-filem bercorak hantu yang boleh merosakkan akidah. Bagaimanapun cerita-cerita hantu masih ditulis dalam majalah-majalah. Setelah dipertimbangkan kembali bahawa kebanyakan orang sekarang adalah terpelajar, dan faktor kebanjiran masuk filem-filem hantu asing, ini telah mendorong kerajaan menarik balik sekatan tersebut sekitar tahun 2000.


Mengapa Kita Mengaitkan Kewujudan Hantu ?
Hantu wujud dalam minda Melayu sebagai satu penjelasan mengenai perkara-perkara yang tidak difahami atau diketahui.
Contohnya :

1. Sakit mengejut tanpa sebab padahal sebelum ini kelihatan sihat?

2. Mengapa pokok besar dan berakar songsang itu berbunyi pada waktu malam?

3. Mengapa sesebuah rumah itu kerap ditinggalkan oleh penghuninya?
Jika ada orang yang berpindah masuk, tidak kekal lama

4. Kawasan kubur seperti ada sesuatu bergerak dan berbunyi pada waktu malam

5. Mengapa mayat seseorang dikatakan ada badi?

Ciri-Ciri Umum Hantu

Pada umumnya orang-orang Melayu percaya hantu menjalankan aktivitinya pada waktu malam sahaja khususnya pada bulan mengambang. 99 % hantu dalam masyarakat Melayu terdiri daripada perempuan atau menyerupai perempuan. Hantu dalam masyarakat Melayu adalah untuk ditakuti, bukan untuk didekati. Pada anggapan orang-orang Melayu juga, kebanyakan hantu ini matanya merah, pada mulutnya merah kesan-kesan darah. Mulutnya penuh dengan gigi yang tajam bercerancang, berwarna merah, selalunya selepas menghisap darah.

Menghalau Hantu

Pada masa kini, kebanyakan orang sudahpun berfikiran moden dan akan mendapatkan rawatan di hospital atau klinik. Tetapi kadang-kala, pihak hospital atau klinik mendapati tidak terdapat sebarang masalah dijumpai. Biasanya keluarga si pesakit menganggap si pesakit diganggu
sesuatu dan akan berpaling kepada perkhidmatan tradisional sebagai alternatif bagi mengubati pesakit.

Cara Menghalau Hantu secara umumnya terbahagi kepada 2:-


1. Menggunakan khidmat sahabat jin bagi menghalau jin penganggu, biasanya dengan cara menurun. Menurut petua yang tidak bertentangan dengan Islam, tiada bacaan tertentu cuma menggunakan bahan-bahan semulajadi.
2.Menurut keugamaan masing-masing.


Sesetengah orang yang berfikiran moden berpendapat, ianya hanyalan kesan ‘placebo’. Selagi mereka yang diubati percaya mereka sihat, mereka akan sembuh dengan sendiri. Dalam erti kata lain, penyakit ini adalah penyakit dalam fikiran (psikologi). Walaubagaimanapun, keluarga pesakit tidak mempeduli apa yang berlaku. Bagi mereka, asalkan si pesakit sembuh, mereka akan melakukan apa jua yang diperlukan.

No comments:

Post a Comment